fb fb fb fb fb

Moderna sedang dapatkan kelulusan kawal selia vaksin kanak-kanak bawah enam tahun

WASHINGTON, 24 Mac- Firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna pada Rabu mengesahkan sedang mendapat kelulusan kawal selia untuk vaksin kanak-kanak di bawah usia enam tahun.

Kajian membabitkan dua suntikan berkenaan telah dikesan selamat dan menghasilkan tindak balas imunisasi yang kuat.

Dua dos 25 mikrogram vaksin yang diberi kepada bayi dan kanak-kanak prasekolah menghasilkan tahap antibodi yang sama dengan 100 mikrogram vaksin yang diberi kepada golongan muda dan dijangka menghasilkan tahap perlindungan yang sama.

Berdasarkan data berkenaan, Moderna akan menyerahkan permohonan kebenaran kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA), Agensi Ubat Eropah (EMA) dan pengawal selia global lain dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stephane Bancel berkata, keputusan itu merupakan berita baik untuk ibu bapa kepada kanak-kanak di bawah umur enam tahun.

Ia memandangkan, kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut adalah satu-satunya golongan yang masih belum mendapat akses kepada vaksin COVID-19 di AS.

"Kami kini mempunyai data klinikal mengenai prestasi vaksin daripada bayi berumur enam bulan hingga golongan dewasa yang lebih berusia," katanya.

(Foto fail)

Keberkesanan vaksin terhadap kanak-kanak berusia enam bulan hingga dua tahun adalah 43.7 peratus, manakala kumpulan umur dua hingga lima tahun adalah 37.5 peratus.

Majoriti kes yang dikesan adalah ringan, tiada kemasukan ke hospital dan tiada kematian sekaligus menunjukkan kedua-dua dos memberi perlindungan yang sangat kuat.

Keputusan berkenaan konsisten dengan apa yang dikesan dalam kalangan golongan dewasa dan syarikat itu sedang menilai dos ketiga sebagai penggalak untuk meningkatkan keberkesanan terhadap jangkitan Omicron.

Ia memandangkan ujian yang dilakukan ketika gelombang Omicron menunjukkan kadar keberkesanan yang rendah.

Kajian itu melibatkan 4,200 kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun manakala 2,500 lagi melibatkan bayi enam bulan hingga dua tahun.

Kesan sampingan adalah ringan dan konsisten dengan yang dilihat pada kumpulan umur yang lebih berusia. -AFP

Media Baharu