fb fb fb fb fb

Moderna umum hasil positif terhadap vaksin Omicron

WASHINGTON, 9 Jun- Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Moderna mengumumkan keputusan positif satu vaksin COVID-19 baharu untuk digunakan sebagai dos penggalak pada musim luruh bagi melawan virus asal dan Omicron.

Vaksin yang dipanggil 'bivalen' telah diuji dalam percubaan terhadap 814 orang dewasa dan menunjukkan 1.75 kali lebih ketahanan terhadap Omicron.

Vaksin itu juga lebih berkesan untuk mencegah jangkitan, berbanding vaksin asal dihasilkan Moderna iaitu Spikevax.

Sebelum ini, semua peserta menerima tiga dos Spikevax, kemudian separuh daripada peserta mendapatkan dos keempat suntikan bivalen, manakala selebihnya mendapat satu lagi dos Spikevax.

Ketahanan semua peserta diuji dalam tempoh sebulan.


(GAMBAR FAIL/ AFP)

Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel, berkata pihaknya begitu teruja dan menjangkakan vaksin itu akan menjadi calon utama syarikat untuk mendapatkan kebenaran sebagai dos penggalak.

"Kami mahu bersedia seawal Ogos untuk penghantaran," katanya kepada pelabur.

Bagaimanapun Moderna belum mempunyai data mengenai ketahanan bagaimana dos penggalak vaksin baharu itu akan bertahan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Kajian itu hanya melibatkan tahap antibodi, yang dianggap berfungsi sebagai proksi berguna untuk melihat bagaimana keberkesanan vaksin, tetapi tidak dapat membuat ramalan yang tepat.

Jangkitan telah meningkat sejak Omicron menjadi dominan pada akhir 2021, dengan pembuat vaksin berharap untuk memulihkan keberkesanan ke tahap sebelumnya, walaupun vaksin generasi pertama terus melindungi dengan baik daripada penyakit dan kematian yang teruk.- AFP

Media Baharu