(Menteri Luar Finland, Pekka Haavisto/REUTERS)
DAVOS, 25 Mei - Delegasi Sweden dan Finland akan mengadakan pertemuan dengan wakil Turki pada Rabu bagi menyelesaikan perbezaan dengan Ankara yang menentang permohonan mereka untuk menyertai NATO, kata Menteri Luar Finland, Pekka Haavisto.
Kementerian Luar Turki mengesahkan, delegasi tersebut akan mengadakan perbincangan dengan jurucakap presiden, Ibrahim Kalin dan Timbalan Menteri Luar, Sedat Onal.
"Apabila kami melihat masalah datang, sudah tentu kami mengambilnya secara diplomatik. Kami menghantar delegasi kami untuk melawat Ankara," kata Haavisto kepada para hadirin di Forum Ekonomi Dunia di sini.
“Ia bukan sahaja perang sekarang, ini adalah Rusia baharu, ini adalah persekitaran baharu,” kata Menteri Kewangan Sweden Mikael Damberg.
"Akhirnya, sebilangan besar populasi dan kebanyakan parti politik bersetuju bahawa ini adalah masa untuk melihat bahawa kita lebih selamat dalam NATO daripada di luar," tambah beliau.
(Bendera NATO, Sweden dan Finland dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 12 Mei 2022/REUTERS)
Sweden dan Finland memohon untuk menyertai pakatan ketenteraan transatlantik itu berikutan pencerobohan Rusia di Ukraine.
Menurut Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, kedua-dua negara akan menghadiri Sidang Kemuncak NATO pada bulan depan. -AFP