fb fb fb fb fb

EU gantung duti import produk Ukraine

(Naib Presiden Eksekutif EU, Valdis Dombrovskis menjawab soalan wartawan pada
Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan di ibu pejabat EU di Brussels pada 24 Mei 2022/AFP)

BRUSSELS, 25 Mei - Menteri-menteri Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menggantung duti import terhadap semua produk dari Ukraine dalam usaha membantu ekonomi negara yang terjejas itu bertahan daripada serangan tentera Rusia.

Peraturan itu akan berkuat kuasa sehari selepas penerbitannya dalam Jurnal Rasmi EU.

Naib Presiden Eksekutif EU, Valdis Dombrovskis berkata, penggantungan tersebut adalah langkah sementara yang akan memudahkan Ukraine meneruskan dagangan dalam menghadapi pencerobohan Rusia dan memberi sokongan keseluruhan kepada ekonomi Ukraine.

(Valdis Dombrovskis berkata menyatakan Menteri-menteri Kesatuan Eropah (EU) bersetuju
untuk menggantung duti import terhadap semua produk dari Ukraine/AFP)

Perdagangan dua hala antara EU dengan Ukraine, sebuah kuasa besar eksport pertanian, berjumlah €52 bilion (AS$56 bilion) pada tahun lepas, menurut eksekutif EU.

Angka itu meningkat dua kali ganda sejak 2016.

Namun, sejak meletusnya perang pada akhir Februari pengeluaran pertanian dan perindustrian Ukraine telah terjejas teruk, apabila laluan laut disekat oleh tentera Rusia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memberi amaran bahawa serangan Moscow akan menyebabkan ekonomi Ukraine merosot sebanyak 35% tahun ini. -AFP

Media Baharu