FLORIDA, 27 Ogos - Pelancaran misi Polaris Dawn yang terdiri daripada empat orang kru SpaceX telah ditangguhkan sekurang-kurangnya sehari akibat kebocoran helium dalam peralatan darat di Kennedy Space Center, di sini.
Kejadian tersebut berlaku hanya beberapa jam sebelum pelancaran kapsul kru Dragon yang dijadualkan.
Misi lima hari itu dijangka mencapai kemuncaknya dua hari selepas pelancaran, apabila kru akan memulakan misi berjalan di angkasa selama 20 minit pada ketinggian 434 batu (700 km) dari bumi.
Ini akan menjadikan misi tersebut sebagai misi berjalan di angkasa pertama yang dilakukan oleh pihak swasta dalam sejarah.
SpaceX kini merancang untuk melancarkan kapal angkasa tersebut, yang dibawa oleh roket Falcon 9, pada pukul 3:38 pagi (0738 GMT) pada Rabu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di X, "Pasukan sedang melakukan pemeriksaan lebih mendalam terhadap kebocoran helium di bahagian darat.
Falcon dan Dragon masih dalam keadaan baik dan kru bersedia untuk misi mereka selama beberapa hari ke orbit Bumi rendah."
Misi berjalan di angkasa pertama oleh Amerika Syarikat dilakukan pada tahun 1965 di atas kapsul Gemini, dengan prosedur serupa yang dirancang untuk Polaris Dawn.
Dalam misi tersebut, kapsul dinyahtekanan, pintu dibuka dan seorang angkasawan keluar dengan memakai pakaian angkasa serta menggunakan tali keselamatan.
Kru Polaris Dawn akan menguji pakaian angkasa baru SpaceX yang lebih ramping semasa misi berjalan di angkasa.
Hanya dua daripada empat kru akan meninggalkan kapal angkasa iaitu jutawan Jared Isaacman, juruterbang misi Scott Poteet, seorang bekas leftenan kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat serta dua jurutera kanan SpaceX, Sarah Gillis dan Anna Menon.
Isaacman, pengasas syarikat pembayaran elektronik Shift4, membiayai misi tersebut dan enggan mendedahkan jumlah perbelanjaan, namun dianggarkan lebih daripada AS$100 juta.-REUTERS