KHYBER PAKHTUNKHWA, 22 November- Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan lebih 20 lagi cedera dalam serangan hendap yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata di daerah Kurram, di sini, Pakistan, semalam.
Serangan itu menyasarkan konvoi kenderaan dari Parachinar ke Peshawar, dengan kebanyakan mangsa dipercayai ahli komuniti Syiah.
Ketua Menteri Khyber Pakhtunkhwa, Ali Amin Khan Gandapur mengutuk serangan tersebut dan menegaskan tindakan menyerang orang awam adalah tidak dapat diterima.
Gandapur segera mengarahkan penubuhan jawatankuasa untuk melawat Kurram dan menilai keadaan.
Beliau juga mengarahkan penubuhan Pasukan Polis Lebuhraya Wilayah bagi memastikan keselamatan jalan raya.
Gandapur turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menawarkan bantuan kewangan.
Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu setakat ini.
Kejadian tersebut mengingatkan kepada insiden serupa di Musakhel, Balochistan pada Ogos 2024, yang mengorbankan 23 orang.
Para penyerang didakwa membakar beberapa kenderaan sebelum melarikan diri. -Reuters