JERUSALEM, 22 November- Tentera Israel hari ini mendakwa telah membunuh dua komander Hamas dan meneruskan serangan udara mereka di utara Gaza.
Ia berlaku sehari selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant berhubung dakwaan jenayah perang yang melibatkan penggunaan kebuluran sebagai kaedah peperangan serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Serangan terbabit turut disertai dengan serangan lain di Lubnan, yang mana Israel sedang bertempur dengan kumpulan Hizbullah yang disokong oleh Iran.
Rakaman langsung AFPTV menunjukkan beberapa serangan udara berlaku awal pagi ini di pinggir selatan Beirut.
ICC pada Khamis menyatakan Netanyahu dan Gallant mungkin bertanggungjawab secara jenayah terhadap penggunaan kebuluran sebagai strategi peperangan terhadap Palestin di Gaza.
Keputusan itu telah menarik reaksi pelbagai daripada pemimpin dunia dengan sesetengah negara berikrar untuk menangkap kedua-dua pemimpin Israel sekiranya mereka memasuki wilayah mereka.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pula mengutuk keputusan ICC itu yang disifatkan oleh Netanyahu kononnya sebagai "tidak masuk akal" dan "didorong oleh kebencian anti-Semit terhadap Israel." -AFP
BERITA BERKAITAN