MONTREAL, 13 Mei- Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa Bersatu pada Isnin memutuskan Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine pada 2014, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.
Menurut kenyataan berasingan oleh kerajaan Belanda dan Australia, keputusan itu membuka jalan kepada pertimbangan bentuk pampasan yang wajar oleh Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam minggu-minggu akan datang.
Pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Daripada jumlah mangsa, 196 merupakan warga Belanda, manakala 38 lagi warga atau penduduk Australia.
Pada 2022, mahkamah Belanda menjatuhkan hukuman terhadap dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine secara in absentia atas kesalahan membunuh. Rusia bagaimanapun menolak keputusan itu dan enggan mengekstradisi rakyatnya.
Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp menyifatkan keputusan ICAO sebagai satu langkah penting ke arah keadilan buat keluarga mangsa dan mengingatkan bahawa negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa akibat.
Menteri Luar Australia, Penny Wong turut menggesa ICAO agar segera menetapkan bentuk pampasan dan mendesak Rusia supaya mengakui tanggungjawab serta memberi ganti rugi seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang antarabangsa.
Walaupun ICAO tidak memiliki kuasa penguatkuasaan undang-undang, badan yang beribu pejabat di Montreal itu memainkan peranan besar dalam menetapkan piawaian penerbangan global kepada 193 negara ahli.-REUTERS