fb fb fb fb fb

Diddy didakwa guna kekerasan dan ugutan dalam kes pemerdagangan seks

Sean “Diddy” Combs / AFP

NEW YORK, 13 Mei- Seorang juri di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat diberitahu, bintang hip-hop terkenal, Sean “Diddy” Combs, menggunakan kekerasan dan ugutan untuk mengawal serta mengeksploitasi wanita selama bertahun lamanya.

Perbicaraan yang dijangka berlangsung sehingga 10 minggu itu bermula dengan keterangan pembukaan yang menggambarkan Combs, 55, sebagai individu yang ganas, manipulatif dan sanggup memberi rasuah demi menjaga reputasinya.

Pendakwa, Emily Johnson, mendakwa Combs mengetuai sindiket jenayah seksual melibatkan pesta seks liar yang disertai dadah, ugutan serta kekerasan fizikal. Penyanyi itu turut dikatakan mengugut bekas teman wanitanya, penyanyi Cassie Ventura, dengan penyebaran rakaman seksual sekiranya wanita itu enggan menurut arahan.

Rakaman CCTV yang menunjukkan Combs mengejar dan memukul Ventura di sebuah hotel mewah di Los Angeles pada tahun 2016 turut ditayangkan kepada juri, disertai keterangan saksi pertama, seorang bekas pegawai keselamatan yang hadir di lokasi kejadian.

Peguam bela Combs, Teny Geragos, bagaimanapun menegaskan kes tersebut lebih berkait soal hubungan toksik, cemburu dan wang. Beliau mengakui wujud unsur keganasan rumah tangga, namun menolak dakwaan pemerdagangan seks.

Kes berkenaan menarik perhatian ramai, termasuk media antarabangsa, dan bakal menyaksikan Ventura sendiri memberi keterangan dalam masa terdekat. Jika sabit kesalahan, Combs berdepan hukuman penjara seumur hidup.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE