MANILA 13 Mei- Gunung Berapi Kanlaon yang terletak di tengah Filipina meletus awal pagi Selasa, memuntahkan abu tebal kelabu setinggi kira-kira tiga kilometer ke udara serta serpihan batuan di sekitar kawah.
Gunung berapi tersebut merupakan salah satu daripada 24 gunung berapi aktif di negara Asia Tenggara itu merekodkan beberapa letusan termasuk satu letusan baru-baru ini pada April.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) dalam satu kenyataan memaklumkan, letusan kira-kira lima minit itu berlaku pada pukul 2.55 pagi (waktu tempatan), bersamaan 6.55 petang Isnin.
"Letusan sederhana di kawah puncak Gunung Kanlaon, menghasilkan kepulan abu kelabu yang tebal dan naik sehingga tiga kilometer dari kawah sebelum dibawa angin ke arah barat," menurut PHIVOLCS.
Serpihan batuan besar turut dilihat terpelanting di sekitar kawasan kawah dalam lingkungan beberapa ratus meter.
Bagaimanapun pihak berkuasa mengekalkan status amaran Tahap Tiga susulan kejadian itu.
Zon larangan sejauh enam kilometer dari kawah gunung masih berkuat kuasa dan penduduk di kawasan berhampiran dinasihatkan supaya mematuhi arahan keselamatan.
PHIVOLCS turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku letusan bersifat sederhana dan singkat dalam tempoh terdekat.
Filipina terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kawasan seismik paling aktif di dunia yang menempatkan lebih separuh gunung berapi di seluruh dunia.
Letusan paling dahsyat dalam sejarah terkini negara itu ialah letusan Gunung Pinatubo pada tahun 1991, yang mengorbankan lebih 800 nyawa.- AFP