WASHINGTON, 13 Mei - Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan pesawat ketenteraan dan peralatan bernilai AS$1.4 bilion kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), menjelang lawatan Presiden Donald Trump ke rantau Teluk minggu ini.
Penjualan yang dicadangkan melibatkan enam helikopter CH-47F Chinook dan peralatan berkaitan bernilai AS$1.32 bilion.
Menurut Biro Hal Ehwal Politik Ketenteraan Jabatan Negara, urus niaga itu bertujuan menyokong dasar luar dan keselamatan negara Amerika Syarikat.
“UAE akan menggunakan aset ini dalam operasi mencari dan menyelamat, bantuan bencana, sokongan kemanusiaan dan operasi antipengganas,” menurut biro itu menerusi kenyataan.
Emiriah Arab Bersatu disifatkan sebagai rakan kongsi penting Washington bagi kestabilan politik dan kemajuan ekonomi di Asia Barat.
Trump dijadualkan melawat Arab Saudi, Qatar dan UAE minggu ini untuk membincangkan isu diplomatik berkaitan Gaza dan Iran, selain memeterai perjanjian perniagaan melibatkan sektor pertahanan, penerbangan, tenaga dan kecerdasan buatan.
Selain helikopter, Jabatan Negara turut meluluskan penjualan komponen pesawat pejuang F-16 bernilai AS$130 juta.
Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Negara menjelaskan komponen F-16 itu akan meningkatkan keupayaan UAE dalam mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya, selaras dengan keperluan pertahanan negara berkenaan.-AFP