(Foto Reuters)
OSLO, 18 Julai- Agensi Perlindungan Data Norway pada Isnin memberi amaran, melarang syarikat pengendali Facebook dan Instagram, Meta daripada menggunakan maklumat peribadi pengguna bagi tujuan pengiklanan.
Firma itu bakal didenda AS$100,000 sehari jika terus mengeksploitasi data penggunanya.
Badan pemantau Norway, Datatilsynet mendedahkan Meta menggunakan maklumat seperti lokasi pengguna, kandungan yang disukai dan siaran mereka untuk tujuan pemasaran.
Aktiviti itu menyalahi undang-undang.
"Agensi Perlindungan Data Norway menganggap amalan Meta adalah menyalahi undang-undang dan kerana itu mengenakan larangan di Facebook dan Instagram," katanya dalam satu kenyataan.
Larangan tersebut akan dilaksana selama tiga bulan, bermula 4 Ogos untuk memberi Meta masa mengambil langkah pembetulan.
"Kami akan menganalisis keputusan itu, tetapi tiada kesan serta-merta ke atas perkhidmatan kami,” kata Meta kepada AFP dalam satu kenyataan.-AFP
(Foto Reuters)