fb fb fb fb fb

Mesyuarat Menteri Luar G7 tumpu konflik Ukraine, Asia Barat

FOTO REUTERS

ONTARIO, 13 November - Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) memberi tumpuan kepada isu Ukraine dan Asia Barat sejajar dengan usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk merangka perdamaian yang kini berdepan cabaran.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, hadir bagi menghadiri mesyuarat itu dan dijangka berdepan soalan mengenai usaha Trump menamatkan perang di Ukraine serta fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza.

Pertemuan berkenaan diadakan selepas rancangan untuk mengadakan kemuncak antara Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Trump ditangguhkan bulan lalu, susulan penolakan Moscow terhadap gencatan senjata segera di Ukraine yang menjejaskan usaha rundingan.

Terdahulu, menteri-menteri luar G7 dan wakil negara bukan G7 yang hadir sebagai tetamu jemputan bergambar secara rasmi pada persidangan menteri pada Rabu.

Antara tetamu jemputan ialah wakil dari Australia, Brazil, India, Mexico, Afrika Selatan, Korea Selatan, Ukraine, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dan Bank Dunia. -REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM