KAHERAH, 5 Januari- Menteri Luar Mesir, Badr Abdel Aati mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Ahad berhubung perkembangan terkini di Semenanjung Gaza dan Syria, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Mesir, Abdel Aati menegaskan keperluan kritikal untuk meneruskan usaha serantau dan antarabangsa bagi memastikan gencatan senjata segera serta kelancaran penyampaian bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Beliau turut menekankan kepentingan Israel menghentikan dasar agresif terhadap rakyat Palestin dan mengecam keras tindakan menyasarkan infrastruktur kesihatan dan hospital di Gaza secara sistematik, yang disifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan.
Berhubung perkembangan di Syria, beliau menegaskan keperluan untuk proses peralihan politik menyeluruh yang dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Syria tanpa campur tangan luar, bagi mendapatkan keselamatan, kestabilan, dan keutuhan wilayah negara itu.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS menyatakan penghargaan mendalam negaranya terhadap peranan penting yang dimainkan oleh Mesir dalam mencapai keamanan dan kestabilan di rantau ini.- BERNAMA-QNA