fb fb fb fb fb

Menteri Luar Pakistan adakan rasmi ke Dhaka, pulih hubungan dipomatik

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar berlepas ke Bangladesh, dari Islamabad/ AFP

DHAKA, 23 Ogos - Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, tiba di Dhaka pada Sabtu bagi lawatan rasmi yang dilihat sebagai usaha penting kedua-dua negara untuk membina semula hubungan diplomatik, lebih lima dekad selepas berpecah pada tahun 1971.

Lawatan Dar menjadikannya pegawai tertinggi Pakistan ke Dhaka sejak tahun 2012, dan disifatkan oleh Islamabad sebagai satu pencapaian penting dalam hubungan Pakistan-Bangladesh.

Kedua-dua negara majoriti Islam itu dijangka memeterai beberapa perjanjian kerjasama, termasuk dalam bidang perdagangan, pada Ahad ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan, Ishaq Dar dijadualkan bertemu dengan Ketua Kerajaan Sementara Bangladesh, Profesor Muhammad Yunus.

Sementara itu, penganalisis politik berpendapat bahawa negara jiran, India, dijangka memantau rapat perkembangan itu, terutamanya selepas tercetusnya konflik bersenjata selama empat hari antara India dan Pakistan pada Mei lalu.

Hubungan antara Dhaka dan New Delhi dilaporkan tegang sejak Ogos 2024, susulan kebangkitan rakyat di Bangladesh yang menamatkan pemerintahan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, yang kemudiannya melarikan diri ke India.

“Bangladesh pernah menjadi rakan strategik utama India di rantau ini. Kini, negara itu dilihat sedang mendekati musuh utama India,” kata penganalisis berpangkalan di Amerika Syarikat, Michael Kugelman.

Sejak tahun lalu, Bangladesh dan Pakistan telah memulakan hubungan perdagangan laut. Hubungan itu diperluas pada Februari 2025 melalui urus niaga antara kerajaan.

Pada Khamis lalu, Menteri Perdagangan Pakistan, Jam Kamal Khan mengadakan rundingan di Dhaka dan bersetuju menubuhkan suruhanjaya bersama untuk menggalakkan pelaburan dan perdagangan.

Pada hari Jumaat pula, pegawai tertinggi tentera dari kedua-dua negara bertemu di Islamabad, iaitu pertemuan ketenteraan yang pertama sejak sekian lama.

Walaupun usaha diplomatik sedang dipergiat, bayangan konflik pada1971 masih menghantui hubungan kedua negara. Ketika itu, Pakistan dituduh melakukan kekejaman besar-besaran ketika Bangladesh (dulu dikenali sebagai Pakistan Timur) memperjuangkan kemerdekaannya.

Angka korban dianggarkan ratusan ribu, malah menurut pihak Bangladesh, ia mencecah jutaan. Banyak pihak di Dhaka masih menuntut permohonan maaf rasmi daripada Islamabad.- AFP

ROSLINA BINTI DIN