fb fb fb fb fb

Menteri Luar Belanda letak jawatan isu sekatan Israel

Beberapa pemimpin dunia mengkritik Israel / Foto REUTERS

AMSTERDAM, 23 Ogos - Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp daripada parti berhaluan tengah New Social Contract (NSC) meletak jawatan pada Jumaat susulan pertikaian mengenai sekatan terhadap Israel, lapor agensi berita Jerman dpa.

Berikutan keputusan itu, beberapa menteri lain daripada partinya turut meninggalkan gabungan kerajaan.

Peletakan jawatan tersebut pada peringkat awal tidak membawa kesan politik domestik.

Gabungan berhaluan kanan itu telahpun berfungsi sebagai kerajaan sementara selepas perpisahan dengan parti sayap kanan pimpinan populis Geert Wilders pada Julai.

Pilihan raya baharu dijadual berlangsung akhir Oktober.

Veldkamp berkata pada Jumaat malam di Hague bahawa beliau tidak melihat ruang dalam kerajaan semasa untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri bebas Dick Schoof kini hanya terdiri daripada parti liberal kanan People's Party for Freedom and Democracy (VVD) dan parti populis kanan Farmer-Citizen Movement (BBB).

Sebelum ini, parti pembangkang di parlimen telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap menteri berkenaan.

Mereka menuntut sekatan lebih ketat terhadap Israel berikutan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Veldkamp berkata beliau mahu memperjuangkan perkara itu dalam Kabinet namun mendakwa tidak mendapat sebarang sokongan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kritikan awam terhadap kerajaan juga semakin meningkat. Puluhan ribu orang menyeru supaya sekatan dikenakan terhadap Israel ketika beberapa demonstrasi.

Pada Jumaat, satu laporan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengesahkan kebuluran di sebahagian Gaza yang termasuk Gaza City.

Beberapa pemimpin dunia mengkritik Israel berhubung laporan itu. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN