fb fb fb fb fb

Menteri Luar anggota BRICS bincang isu perdagangan global, kemanusiaan

Menteri Luar Brazil Mauro Vieira (tengah) pada mesyuarat pertama Menteri Luar BRICS di Rio de Janeiro, Brazil/ AFP

RIO DE JANEIRO, 29 April– Menteri-menteri luar dari negara-negara anggota BRICS mengadakan mesyuarat selama dua hari di sini bermula Isnin untuk membentuk pendirian bersama terhadap dasar perdagangan yang dilaksanakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pertemuan itu berlangsung ketika ekonomi global berdepan tekanan besar susulan keputusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengurangkan ramalan pertumbuhan ekonomi dunia akibat kesan tarif baharu yang akan dilaksanakan oleh Washington.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan diplomat tertinggi dari 11 negara anggota BRICS merangkumi Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ia diadakan bagi merangka agenda menjelang Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang dijadual berlangsung pada bulan Julai depan.

Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira menegaskan keperluan dialog penting ketika "krisis kemanusiaan, konflik bersenjata, ketidakstabilan politik dan hakisan multilateralisme" berlaku.

"Peranan BRICS sebagai satu kumpulan kini lebih penting daripada sebelumnya," ujar beliau ketika membuka mesyuarat.

Sejak kembali ke White House pada Januari lalu, Presiden Trump mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas banyak negara, dengan China menjadi sasaran utama menerusi cukai setinggi 145 peratus ke atas pelbagai produk.

Namun sebagai tindak balas, Beijing mengenakan tarif balas mencecah 125 peratus ke atas barangan dari Amerika Syarikat.

Perancang Ekonomi Kanan China, Zhao Chenxin dalam satu kenyataan memaklumkan Beijing menghadapi "unilateralisme dan pembulian" dari Amerika Syarikat.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai satu gabungan empat kuasa ekonomi – Brazil, Rusia, India dan China – kini telah berkembang dan menjadi alternatif kepada organisasi antarabangsa yang diterajui oleh Barat seperti G7.

Gabungan itu merangkumi hampir separuh populasi dunia dan menyumbang 39 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, selain memainkan peranan dalam isu antarabangsa termasuk konflik di Ukraine, Gaza dan perdagangan global.

Dalam ucapannya, Vieira turut menyeru kepada "pengunduran sepenuhnya" pasukan tentera Israel dari Gaza dan menyifatkan sekatan bantuan lebih 50 hari ke atas wilayah itu sebagai "tidak dapat diterima."

Mengenai perang di Ukraine, kumpulan BRICS dilihat lebih berhati-hati dengan hanya menggesa perdamaian.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI