TEHERAN, 29 April- Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran besar yang tercetus di pelabuhan utama Iran selepas letupan dahsyat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 70 nyawa dan mencederakan lebih 1,000 orang, menurut pihak berkuasa negara itu.
Letupan yang menggegarkan kawasan berpuluh kilometer jauhnya itu berlaku di sebuah dermaga di Pelabuhan Shahid Rajaee, selatan Iran, pada Sabtu lalu.
Media rasmi melaporkan, selain kehilangan nyawa dan kecederaan, kebakaran turut menyebabkan kerosakan besar ke atas kemudahan pelabuhan terbabit.
Pegawai Bulan Sabit Merah, Mokhtar Salahshour, memaklumkan kepada televisyen negara pada Isnin malam bahawa api telah berjaya dikawal sepenuhnyadan kerja-kerja pembersihan kini sedang berjalan.
Rakaman langsung yang disiarkan pada Selasa menunjukkan kepulan asap tebal masih naik dari timbunan kontena yang terbakar.
Jurucakap Agensi Pengurusan Krisis Iran, Hossein Zafari, dilaporkan oleh agensi berita ILNA berkata, keadaan di lokasi bertambah baik sejak Isnin. Namun, proses pemadaman sepenuhnya dijangka mengambil masa 15 hingga 20 hari.
Pihak kastam Iran memaklumkan operasi pelabuhan kini kembali berjalan seperti biasa, menurut laporan IRNA.
Pelabuhan Shahid Rajaee terletak berhampiran Bandar Abbas, bersebelahan Selat Hormuz — laluan penting bagi satu perlima eksport minyak dunia.
Gabenor Wilayah Hormozgan, Mohammad Ashouri, menolak unsur sabotaj sebagai punca letupan.
“Hasil siasatan dan hipotesis yang dijalankan mendapati tiada asas kukuh bagi mengaitkan kejadian ini dengan sabotaj,” katanya kepada televisyen negara.
Pejabat kastam pelabuhan menyatakan letupan dipercayai bermula di sebuah gudang yang menyimpan bahan kimia dan berbahaya.
Menteri Dalam Negeri, Eskandar Momeni, turut mengesahkan bahawa kejadian berpunca daripada kelemahan dalam pematuhan prosedur keselamatan dan unsur kecuaian.
Satu jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan turut mengenal pasti faktor-faktor serupa sebagai punca utama tragedi.-AFP