fb fb fb fb fb

Menteri Kabinet Perang Israel letak jawatan

Benny Gantz / REUTERS

RAMAT GAN, 10 Jun- Menteri Kabinet Israel Benny Gantz mengumumkan peletakan jawatannya daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Ahad.

Bekas jeneral dan Menteri Pertahanan Israel itu mengumumkan peletakan jawatannya selepas tuntutannya pada bulan lalu supaya rancangan pasca perang untuk Gaza diluluskan Netanyahu tidak dilaksanakan.

Ia berlaku selepas pasukan khas bertempur dengan pejuang Palestin pada Sabtu di kem pelarian Nuseirat yang sesak di tengah Gaza, ketika mereka melakukan serbuan untuk membebaskan empat tebusan.

Serbuan dilakukan dari udara dan darat.

Seramai 274 orang terbunuh dan 698 lagi cedera dalam operasi tersebut.

Empat tebusan yang diselamatkan itu, diculik dari festival muzik Nova ketika serangan Hamas di selatan Israel, pada 7 Oktober tahun lalu.

Ketiadaan Gantz dikatakan tidak akan menimbulkan ancaman kepada kerajaan. Tetapi ia boleh memberi impak yang serius, menyebabkan Netanyahu bergantung pada garis keras, tanpa penamat kepada perang Gaza dan kemungkinan peningkatan dalam pertempuran dengan Hezbollah di Lubnan.

Pada Ahad, Gantz berkata politik mengaburkan keputusan strategik dalam kabinet Netanyahu. Berhenti ketika tebusan masih berada di Gaza dan tentera yang bertempur di sana adalah keputusan yang menyiksakan, katanya.

Netanyahu membalas dengan memberitahu Gantz, ia bukan masa untuk meninggalkan pertempuran.

Gantz bukan sahaja secara peribadi meletak jawatan daripada kerajaan, tetapi turut mengundurkan diri daripada parti Perpaduan Nasional yang dipengerusikannya.

Dengan ketiadaan Gantz, Netanyahu akan kehilangan sokongan blok tengah yang telah membantu meluaskan sokongan kepada kerajaan di Israel dan di luar negara, pada masa peningkatan tekanan diplomatik dan domestik selama tempoh lapan bulan dalam perang Gaza.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE