fb fb fb fb fb

Tujuh askar Pakistan terbunuh dalam pengeboman di sempadan Afghanistan

FOTO HIASAN

ISLAMABAD, 10 Jun- Tujuh askar Pakistan terbunuh pada Ahad selepas kenderaan mereka dibom di wilayah barat laut bersempadan dengan Afghanistan.

Enam anggota dan seorang pegawai dibunuh oleh alat letupan buatan di daerah Lakki Marwat di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, kata tentera dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai kanan polis yang ditempatkan di Lakki Marwat memberitahu AFP bahawa "letupan itu mengakibatkan kenderaan berkenaan musnah sepenuhnya."

"Kami telah menerima maklumat bahawa kenderaan itu diserang selepas letupan," tambahnya.

Pergunungan Khyber Pakhtunkhwa telah lama menjadi sarang kumpulan pengganas termasuk Taliban Pakistan dan IS.

“Lakki Marwat adalah salah satu daerah di Khyber Pakhtunkhwa yang paling terjejas oleh keganasan,” pegawai kanan polis itu memberitahu AFP.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Taliban Pakistan dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) ialah kumpulan militan paling aktif di kawasan itu dan kerap menyasarkan pasukan keselamatan.

Serangan telah meningkat di Pakistan sejak Taliban kembali berkuasa di negara jiran Afghanistan pada Ogos 2021.

Tahun lalu, 29 serangan berani mati direkodkan, angka tertinggi sejak 2014. Serangan tersebut membunuh 329 orang, menurut Institut Kajian Konflik dan Keselamatan Pakistan.

Islamabad menuduh pemerintah baharu Kabul gagal menumpaskan militan yang berlindung di bumi Afghanistan ketika mereka bersiap untuk melancarkan serangan ke atas Pakistan.

Kerajaan Taliban telah berulang kali menafikan dakwaan itu, dan berkata ia tidak akan membenarkan wilayah Afghanistan menjadi 'tuan rumah' militan asing.

Bagaimanapun penganalisis berkata TTP berkongsi garis keturunan dan ideologi yang sama dengan Taliban Afghanistan.

Pada Januari 2023, TTP dikaitkan dengan pengeboman berani mati di sebuah masjid di ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Peshawar yang membunuh lebih 80 pegawai polis.

Pada September, Pakistan berkata empat tentera terbunuh semasa serbuan rentas sempadan oleh ratusan anggota TTP di Chitral, kawasan yang popular dengan pelancong domestik.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE