fb fb fb fb fb

Tragedi Kebakaran Pertamina: Menteri Indonesia mahu siasatan teliti

(Kebakaran berlaku di depoh bahan api syarikat minyak milik kerajaan, Pertamina kira-kira 8.20 malam
menyebabkan beberapa siri letupan kedengaran hingga kira-kira 1km/FOTO REUTERS)

JAKARTA, 5 Mac - Pihak berkuasa Indonesia mengarahkan siasatan dan pemeriksaan audit secara menyeluruh ke atas syarikat tenaga Pertamina terhadap fasiliti milik syarikat tenaga negara itu selepas insiden kebakaran di pusat simpanannya yang meragut nyawa 15 orang.

Kebakaran itu bermula di saluran paip minyak di depot simpanan minyak Plumpang, Jakarta kira-kira 8 malam (waktu tempatan) semalam, sebelum merebak ke kawasan kediaman berhampiran mencemaskan para penduduk yang padat di kawasan itu.

Pihak berkuasa pada awalnya menganggarkan angka korban adalah seramai 17 orang namun kemudian membetulkan angka korban kepada 15 orang.

Berpuluh-puluh orang cedera dan lebih 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut polis pada Sabtu (4 Mac).

"Saya sudah pun memberi arahan kepada Pertamina supaya segera menyiasat kes ini dengan teliti," kata Menteri Syarikat Milik Negara, Erick Thohir di akaun Instagramnya.

"Pemeriksaan operasi harus dilakukan," tambahnya.

(Anggota bomba mengeluarkan mayat dari kawasan perumahan berhampiran depoh minyak Pertamina/FOTO REUTERS)

Siasatan masih dijalankan untuk menentukan punca kebakaran, namun syarikat tersebut dalam satu kenyataan pada Sabtu mendedahkan kebocoran paip dikesan sebelum kebakaran itu berlaku, lapor Reuters.

Kebakaran itu menyebabkan puluhan rumah dan beberapa kereta terbakar.

Sesetengah penduduk dilihat pulang ke rumah masing-masing untuk memeriksa kesan kemusnahan pada kediaman atau menyelamatkan barangan mereka daripada runtuhan.

Ada juga yang menuju ke hospital untuk mencari saudara-mara yang hilang.

Pada masa sama, Sugeng Suparwoto yang mengetuai jawatankuasa tenaga Parlimen Indonesia, menggesa audit dijalankan terhadap semua fasiliti milik Pertamina.

"Semua fasiliti, termasuk kilang penapisan atau pusat simpanan, perlu diaudit semula," katanya kepada KompasTV, sambil mengesahkan insiden kebakaran kerap berlaku di fasiliti Pertamina.

Pada 2021, kebakaran besar berlaku di kilang penapisan Pertamina di Balongan dan Cilacap. - REUTERS

Media Baharu