fb fb fb fb fb

Membisu tentang Gaza, pengasas Ben & Jerry’s tinggalkan Unilever

Pengasas ais krim terkenal mengusahakan lebih 50 tahun perniagaanya umum letak jawatan/Foto REUTERS

NEW YORK, 18 September - Jerry Greenfield, pengasas bersama Ben & Jerry’s, mengumumkan peletakan jawatannya selepas 47 tahun bersama syarikat aiskrim popular itu, susulan ketegangan dengan syarikat induk, Unilever, berhubung pendiriannya mengenai Gaza.

Dalam surat terbuka yang dikongsi di platform X, Greenfield berkata syarikat itu tidak lagi bebas untuk membela isu kemanusiaan selepas Unilever menyekat kebebasan suara mereka.

Greenfield menyifatkan keputusan itu sebagai antara yang paling sukar dibuat sepanjang hidupnya.

“Dengan hati yang hancur, saya tidak lagi boleh meneruskan kerja dengan penuh keikhlasan di Ben & Jerry’s. Kebebasan untuk memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia sudah hilang,” katanya.

Beliau menegaskan sejak pengambilalihan oleh Unilever lebih dua dekad lalu, Ben & Jerry’s lantang menyuarakan isu keamanan, keadilan dan hak asasi, namun ruang tersebut kini semakin disekat kerana dianggap menyinggung pihak berkuasa.

Greenfield berkata, nilai seperti kasih sayang, keadilan dan kesamarataan adalah asas kepada penubuhan syarikat itu sejak 1978, malah lebih penting daripada perniagaan itu sendiri.

“Ini bukan sekadar tentang aiskrim, tetapi cara menyebarkan kasih sayang dan mengajak orang lain berjuang demi keadilan, kesamarataan serta dunia yang lebih baik.

"Jika nilai itu tidak lagi boleh dibawa dalam Ben & Jerry’s hari ini, saya akan terus memperjuangkannya di luar syarikat dengan segala kasih dan keyakinan yang saya ada,” kata Greenfield.

Ben & Jerry’s sebelum ini menghentikan penjualan di Tebing Barat pada 2021 dan menuduh Unilever cuba menutup mulut mereka.

Ben & Jerry's menyifatkan konflik Gaza sebagai “genosid”, sekali gus menjadikan antara syarikat Amerika Syarikat yang lantang bersuara mengenai Gaza. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN