DOHA, 18 September – Seorang wanita Palestin, Najwa Abu Hamada, terpaksa menelan kepahitan apabila embrio beku miliknya musnah selepas Pusat Kesuburan (IVF) Al-Basma di Gaza dibedil tentera Israel pada akhir 2023.
Najwa, 49, yang kini menetap di Qatar, berkata serangan itu meragut harapan terakhirnya untuk memiliki anak pada usia hampir 50 tahun.
“Tiada keadilan untuk kami. Embrio itu adalah impian saya, kini semuanya hilang.
“Saya kehilangan segalanya, saya kehilangan anak saya. Apa yang boleh menggantikan?
"Israel bukan sahaja meragut nyawa anak saya, malah memusnahkan embrio milik saya di Pusat Al-Basma. Ia adalah harapan terakhir saya, namun turut lenyap,” katanya.
Najwa sebelum ini pernah mendapat anak melalui rawatan kesuburan, namun anak lelakinya Khalil terbunuh ketika berusia 17 tahun dalam konflik pada 2022.
Pengasas pusat itu, Dr Bahaeldeen Ghalayini, mengesahkan lebih 4,000 embrio serta 1,000 sampel sperma dan telur beku musnah selepas tangki nitrogen cair meletup akibat serangan kereta kebal Israel.
Suruhanjaya Siasatan PBB menyifatkan pemusnahan pusat kesuburan itu sebagai bukti tindakan genosid Israel di Gaza, selain sekatan bantuan, pengusiran paksa dan angka korban tinggi.
Israel menolak dakwaan itu dan menegaskan operasi ketenteraan yang dilancarkan hanya menyasarkan Hamas serta mematuhi undang-undang antarabangsa. - REUTERS