fb fb fb fb fb

Memakai pakaian pasukan China, Atlet Olimpik Taipei hadapi hukuman

FOTO AFP

TAIPEI, 22 Februari- Kerajaan Taiwan mengecam salah seorang pembawa bendera Olimpiknya, yang juga atlet luncur laju, selepas dilihat memakai pakaian pasukan kebangsaan China dalam satu video dalam talian, dengan seorang Ahli Parlimen menyifatkan pakaiannya itu sebagai 'seragam musuh'.

Perselisihan antara China dan Taiwan sudah berlarutan selama beberapa dekad berikutan Beijing menganggap pulau itu sebagai wilayahnya dan berikrar untuk merampas satu hari nanti secara paksa, jika perlu.

Taiwan yang demokratik dengan pemerintahan sendiri sering dianggap sebagai kubu liberalisme, namun pihak berkuasa berkata, atlet Olimpik, Huang Yu-ting boleh dihukum selepas menimbulkan kemarahan pada bulan lalu apabila menyiarkan satu klip memaparkan dirinya mengenakan pakaian pasukan China.

Yu-ting memadam video itu selepas menerima kritikan bertubi-tubi, kemudian menjelaskan seorang rakan dari China memberikannya pakaian seragam itu, justeru beliau memakainya 'demi persahabatan'.

Ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing hampir berakhir pada hujung minggu, seorang pegawai berkata, Yu-ting akan disiasat dan berdepan 'hukuman yang setimpal' atas arahan Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang.

Tseng-chang, hari ini mengulangi yang siasatan terhadap tindakan Yu-ting itu sedang dijalankan.

"Atlet dalam pasukan kebangsaan... harus menjaga maruah negara kita. Perlakuan itu sangat tidak wajar dan gagal memenuhi jangkaan orang ramai," kata perdana menteri kepada pemberita.

Atlet wanita berusia 33 tahun itu antara empat atlet Taiwan yang bertanding dalam sukan Olimpik sejak dua minggu lalu.

Beliau mengundang lebih banyak kemarahan ketika temasya itu berlangsung, apabila memberitahu dalam satu temubual dengan media China, beliau berasa seperti 'di rumah sendiri' apabila bertanding di Beijing.

Hubungan Taipei dan Beijing menjadi dingin sejak Presiden Tsai Ing-wen berkuasa pada 2016, berpunca daripada tindakan presiden itu yang menolak pendirian bahawa pulau berkenaan adalah sebahagian daripada China.

Beijing telah meningkatkan tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonomi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk peningkatan pencerobohan pesawat perang China ke zon pertahanan udara Taiwan pada 2021.- AFP

Media Baharu