TOKYO, 15 Mac- Rangkaian makanan segera gergasi dunia McDonald's di beberapa negara di Asia mengalami gangguan pada sistem pesanannya pada Jumaat.
Di Jepun, gergasi makanan segera AS itu berkata di X, bahawa ia "pada masa ini mengalami kegagalan sistem" dan "menggantung sementara operasi di banyak cawangannya."
China juga terjejas selama beberapa jam, dengan gangguan sistem itu menjadi topik hangat di platform media sosial Weibo, tetapi firma itu kemudiannya berkata sistem pesanan dalam taliannya telah dipulihkan sepenuhnya.
McDonald's di Hong Kong menulis di Facebook bahawa "pesanan mudah alih dan kiosk pesanan sendiri tidak berfungsi" tetapi kemudiannya berkata sistemnya "secara beransur-ansur kembali normal".
Sementara itu di Korea Selatan, laman web penghantaran restoran itu mempunyai mesej ralat yang berbunyi: "Perkhidmatan telah digantung buat sementara waktu kerana penyelenggaraan pelayan tetap untuk penstabilan laman web."
Singapura turut dilanda gangguan sistem begitu juga Australia dan New Zealand.
India, Indonesia, Thailand dan Vietnam tidak terjejas.-AFP