TEHRAN, 6 Julai- Bekas menteri kesihatan, Masoud Pezeshkian, menang dalam pusingan penentuan pilihan raya presiden Iran.
Kejayaan itu sekali gus menobatkan Pezeshkian, 69 tahun sebagai presiden kesembilan negara itu.
Menurut jurucakap suruhanjaya pilihan raya Iran, Mohsen Eslami, Pezeshkian sebelum ini mendahului pusingan penentuan.
Keputusan itu selepas 70 peratus undi selesai dikira.
"Kami akan menghulurkan tangan sebagai tanda persahabatan kepada semua orang. Untuk semua rakyat negara ini. Kita harus menggunakan semua orang untuk kemajuan negara."
"Orang-orang ini mengambil bahagian dengan penuh kasih sayang, mereka datang untuk membantu dan saya amat berterima kasih," kata Pezeshkian selepas dia memenangi pusingan kedua.
Sebanyak lebih 20.6 juta undi telah dikira, daripada jumlah itu, Masoud Pezeshkian memperoleh lebih 11.1 juta undi.
Bagi bekas perunding nuklear konservatif, Saeed Jalili hanya meraih lebih sembilan juta undi.
Pezeshkian memperoleh lebih 10.4 juta undi pada pusingan pertama pada 28 Jun manakala saingan utamanya, Jalili mendapat lebih 9.4 juta undi.
Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf hanya memperoleh lebih 3.3 juta undi dan bekas menteri dalam negeri, Mostafa Pourmohammadi menerima lebih 206,000 undi.
Bagi memenangi pilihan raya presiden di Iran, calon perlu memperoleh lebih 50 peratus undi.- AFP