GAZA, 8 September - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa risiko kebuluran di Gaza semakin meningkat dan dijangka merebak ke bahagian tengah wilayah itu dalam beberapa minggu akan datang.
Jurucakap UNICEF, Tess Ingram mengesahkan ancaman kebuluran di Gaza benar-benar berlaku khususnya di kawasan timur dan utara.
Selain kebuluran, para penduduk juga terdedah dengan ancaman pengeboman rejim Zionis yang semakin agresif.
Ingram mengakui tiada lagi kawasan selamat di Gaza dengan penduduk turut mempertimbangkan cadangan untuk berpindah ke wilayah selatan.
Tambah beliau, sejak beberapa bulan lalu, petugas kesihatan, kakitangan kemanusiaan dan wartawan telah memberi amaran mengenai kebuluran di Gaza, namun tiada sebarang tindakan dilaksanakan.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza melaporkan jumlah kematian akibat tindakan Israel menyekat makanan secara sistematik meningkat kepada 387 orang, termasuk 138 kanak-kanak. - Bernama