fb fb fb fb fb

Manipulasi saham, pengasas Kakao ditahan

Aplikasi Kakao /Foto REUTERS

SEOUL, 23 Julai-Jutawan dan pengasas syarikat Konglomorat Internet Korea Selatan, Kakao ditahan pada awal Selasa selepas didakwa memanipulasi harga saham semasa pengambilalihan SM Entertainment, kata mahkamah di sini.

Pendakwa raya menuduh Kakao membeli saham SM bernilai 240 bilion won atau AS$173 juta sebanyak 553 kali pada Februari 2023 pada harga yang tinggi dalam usaha sengaja untuk menggagalkan bidaan pengambilalihan oleh HYBE, agensi di sebalik bintang Kpop BTS.

HYBE telah membeli 14.8 peratus kepentingan daripada pengasas SM, Lee Soo-man, dan bercadang untuk membeli lebih banyak saham pada harga 120,000 won setiap satu, tetapi menarik balik percubaannya selepas harga saham SM melonjak.

Mahkamah Daerah Selatan Seoul meluluskan waran tangkap untuk pengasas Kakao, Kim Beom-su, memandangkan kemungkinan melarikan diri dan memusnahkan bukti, katanya dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa juga turut menyoal siasat eksekutif Kakao yang lain, kata pendakwa raya.

Diasaskan pada tahun 2010, Kakao telah berkembang menjadi sebuah empayar yang luas dan memiliki segala-galanya daripada sebuah bank dalam talian utama kepada aplikasi panggilan teksi terbesar di Korea Selatan, serta KakaoTalk, aplikasi pemesejan terbesar di negara berkenaan yang dipasang pada 90 peratus telefon.

Ia juga mempunyai portfolio hiburan yang luas, merangkumi label muzik dan pengurusan bakat, yang telah ditambah pada tahun lepas dengan memperoleh 39.87 peratus kepentingan dalam SM Entertainment.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD