fb fb fb fb fb

Mangsa gempa di Jepun berdepan hujan, ancaman tanah runtuh

Penduduk dipindahkan ke rumah hijau yang ditukar sebagai pusat pemindahan, selepas gempa bumi, di Wajima, wilayah Ishikawa/REUTERS

KASHIMAJI, 3 Januari- Angka kematian akibat gempa bumi besar yang melanda Jepun meningkat kepada 64 orang. Ketika ini pihak berkuasa bergegas membawa bantuan kepada mangsa yang terselamat bagi menghadapi suhu beku dan ramalan hujan lebat.

Gempa bumi dengan 7.6 skala richter melanda semenanjung Noto pada petang Isnin.

Sementara itu hujan lebat diramalkan di kawasan yang dilanda gempa pada Rabu, meningkatkan kebimbangan tanah runtuh yang boleh menghalang usaha membebaskan lebih ramai lagi penduduk terperangkap di bawah runtuhan.

Usaha menyelamat menjadi sukar apabila jalan raya terputus, infrastruktur rosak, selain sukar untuk ke lokasi terpencil.

Bagaimanapun keseluruhan kerosakan dan korban masih belum dapat dipastikan selepas dua hari kejadian gempa itu.

Setakat ini pihak berkuasa telah mengesahkan 64 kematian. Angka itu meningkat bebrbanding 55 pada Selasa.

Lebih 33,000 penduduk telah berpindah dari rumah mereka berikutan beberapa kawasan tidak mempunyai akses kepada bekala air atau elektrik.

Datuk Bandar menuntut kerajaan membersihkan jalan raya dan menyampaikan bantuan dengan pantas dalam mesyuarat bencana tergempar serantau yang diadakan pada Rabu.

"Mereka yang hampir terselamat daripada kematian tidak dapat bertahan tanpa makanan dan air," kata Datuk Bandar Suzu Masuhiro Izumiya.

"Kami belum menerima satu roti pun," tambahnya.

Datuk Bandar Wajima Shigeru Sakaguchi berkata, beliau berterima kasih atas usaha kerajaan tetapi hanya menerima 2,000 makanan untuk kira-kira 10,000 mangsa yang dipindahkan setakat ini.

"Kebanyakan individu berada dalam kesejukan berikutan tiada akses kepada elektrik," katanya. Banyak jalan terputus dan beberapa kawasan di luar pusat bandar terpaksa menggunakan bantuan helikopter, tambahnya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI