fb fb fb fb fb

Jepun mulakan siasatan perlanggaran dua pesawat di Tokyo

Pegawai menyiasat Pesawat Pengawal Pantai Jepun yang terbakar di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo/REUTERS

TOKYO, 3 Januari- Pihak berkuasa pengangkutan Jepun mula memeriksa mayat hangus dalam kapal terbang Jepun Airlines dan pesawat pengawal pantai yang berlanggar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.

Media turut melaporkan polis juga sedang menyiasat kemungkinan kecuaian dalam kes itu.

Kesemua 379 orang di dalam pesawat Japan Airlines (JAL) Airbus A350 melarikan diri selepas berlaku kebakaran berikutan nahas pada Selasa sejurus mendarat di lapangan terbang Haneda.

Dalam kejadian itu lima maut iaitu dalam kalangan enam kru Pengawal Pantai yang bertugas bagi kejadian gempa bumi yang melanda pantai barat Jepun. Kapten Pesawat Pengawal Pantai itu sempat melarikan diri namun mengalami kecederaan parah.

Pihak berkuasa Jepun berkata punca nahas itu masibn belum dikenal pasti.

Lembaga Pengangkutan Keselamatan Jepun (JTSB) sedang menyiasat kejadian itu. Ia turut mendapat bantuan daripada agensi di Perancis, tempat pesawat itu dibina, dan Britain (tempat dua enjinnya dibuat).

JTSB telah mendapatkan semula perakam penerbangan dan suara daripada pesawat pengawal pantai, kata agensi berita Kyodo.

Beberapa media termasuk Kyodo dan akhbar perniagaan Nikkei berkata, polis Tokyo sedang menyiasat sama ada berlaku kecuaian yang membawa kepada kematian dan kecederaan.

"Ada kemungkinan besar terdapat kecuaian," kata penganalisis penerbangan Hiroyuki Kobayashi, yang merupakan bekas juruterbang JAL.

"Kemalangan pesawat sangat jarang berlaku, jadi saya fikir kali ini juga terdapat dua atau tiga isu yang membawa kepada kemalangan itu."

Dalam satu kenyataan pada Rabu, JAL berkata pesawat itu mengiktiraf dan mengulangi kebenaran pendaratan daripada kawalan trafik udara sebelum mendarat.

Semua penumpang dan anak kapal berjaya diselamatkan dalam tempoh 20 minit selepas nahas itu, tetapi kapal terbang berkenaan terbakar selama lebih enam jam, kata syarikat penerbangan itu.

Pesawat JAL penerbangan 516 diberi kebenaran untuk mendarat ke landasan 34R pada pukul 5.43 petang waktu tempatan dan diberi pelepasan untuk mendarat pada pukul 5.45 petang.

Kebenaran itu adalah dua minit sebelum perlanggaran berlaku di landasan itu, menurut rakaman kawalan trafik udara yang disiarkan di liveATC.net.

"Japan Airlines 516 dijelaskan untuk mendarat di 34R ," kata seorang pengawal dalam satu rakaman, merujuk kepada kapal terbang itu.

Pesawat Pengawal Pantai di lapangan terbang itu merupakan salah satu daripada enam pesawat yang sepatutnya menghantar bantuan ke kawasan yang dilanda gempa bumi di Jepun.

Perlanggaran dua pesawat itu memaksa 116 penerbangan domestik dan empat penerbangan antarabangsa dibatalkan, kata kerajaan.

Bagaimanapun menurut Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi kepada pemberita, penerbangan kecemasan dan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi membantu mengurangkan kesesakan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI