fb fb fb fb fb

Wanita di Australia menang tuntutan ke atas sperma mendiang suami

FOTO HIASAN

SYDNEY, 3 Januari- Seorang wanita berusia 62 tahun di Australia mendapat hak untuk mengambil dan menyimpan sperma suaminya, 61, yang telah meninggal dunia pada 17 Disember lalu.

Ia selepas dia berjaya meyakinkan Mahkamah Agung Australia Barat bahawa dia dan mendiang telah mempertimbangkan untuk mendapatkan anak, namun suaminya itu 'pergi' terlebih dahulu.

Pasangan tersebut mula merancang untuk mempunyai anak selepas anak lelaki mereka, 31, maut dalam kemalangan kereta pada 2019.

Enam tahun sebelum itu, anak perempuan mereka, 29, telah lemas ketika memancing.

Beberapa tahun kemudian, pasangan terbabit merancang untuk memiliki anak melalui ibu tumpang dan menjalani beberapa ujian serta pemeriksaan kesihatan bagi tujuan tersebut.

Kes berkenaan dibawa ke mahkamah selepas pihak hospital menunda-nunda permintaan wanita terbabit untuk mengambil sperma daripada mayat suaminya.

Dalam usaha itu, dia terpaksa mendapatkan 'perintah segera' di Mahkamah Agung Australia Barat.

Hakim Fiona Seaward membenarkan sperma itu 'dituai' dan disimpan, namun berkata, perintah mahkamah berasingan diperlukan sebelum ia boleh diguna untuk persenyawaan.

Perintah berkenaan diluluskan pada 21 Disember lalu.

Prosedur mengambil sperma daripada pasangan yang meninggal dunia adalah perkara biasa di Australia dengan tisu pembiakan sebaiknya dikumpul antara satu dan dua hari selepas kematian. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA