fb fb fb fb fb

Mangsa gempa Afghanistan berdepan kebuluran, mohon bantuan

Kediaman rosak, selepas gempa bumi di daerah Dara-i-Nur di wilayah Nangarhar/ AFP

AFGHANISTAN, 3 September – Keluarga mangsa gempa bumi di timur Afghanistan kini hidup kebuluran dan tanpa tempat tinggal beberapa hari selepas gegaran kuat meragut lebih 1,400 nyawa.

Ancaman gegaran susulan terus menakutkan penduduk untuk kembali ke kediaman masing-masing.

Gempa bumi bermagnitud 6.0 yang melanda kawasan terpencil berhampiran sempadan Pakistan turut disusuli sekurang-kurangnya enam gegaran kuat dan gegaran kecil.

Beberapa perkampungan pertanian di lereng bukit yang menghijau musnah dengan mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan selepas beberapa hari.

Di lokasi lain, ada rumah hanya mengalami kerosakan separa, namun penduduk memilih untuk tinggal di kawasan terbuka daripada risiko dihempap bangunan.

Masih trauma dengan kejadian gempa yang memusnahkan rumah Emran Mohammad Aref di Dar-i-Nur, wilayah Nangarhar, dia kini tidur di atas alas plastik bersama empat ahli keluarga di kawasan terbuka.

"Semalam berlaku lagi gegaran, dan pagi ini juga ada gegaran susulan. Kami tiada tempat tinggal dan merayu bantuan daripada sesiapa sahaja," katanya.

Penduduk yang mempunyai kemampuan telah meninggalkan kampung, sementara yang lain membina tempat perlindungan sementara menggunakan sisa bahan binaan.

Ketakutan masih menyelubungi penduduk di Jalalabad, ibu negeri Nangarhar yang turut merasai gegaran, namun tidak mengalami kerosakan.

"Kami sangat takut. Setiap kali melangkah, saya rasa seolah-olah bumi bergegar. Kami tidak tinggal di dalam rumah dan tidur di halaman. Kami bimbang akan ada gempa lagi," kata Fereshta, seorang doktor berusia 42 tahun.

Situasi sama berlaku di kawasan lain termasuk di wilayah Kunar yang terjejas teruk dan masih terputus daripada bantuan akibat tanah runtuh selepas gegaran.

Namun, penduduk yang berpindah ke kawasan rendah seperti tebing sungai dan tepi jalan berdepan risiko dihimpit batuan sekiranya berlaku gegaran susulan, kata pegawai kanan daerah Nurgal, Ijaz Ulhaq Yaad.

"Kawasan ini sangat berbahaya, anda tidak boleh berada di sana terlalu lama atau berjalan melaluinya," katanya.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan pihaknya menyediakan 14,000 khemah untuk diagihkan.

Sementara itu Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) pula mempunyai sekurang-kurangnya 700 khemah, namun tidak dapat menghantar bantuan kerana kesukaran ke kawasan terjejas.

"Tolong kami, beri kami tempat perlindungan, tolong anak-anak saya, kami sudah tiada apa-apa," rayu Sorat, seorang suri rumah yang cedera bersama suami dan anak-anaknya.

Selepas diselamatkan daripada runtuhan dan menerima rawatan di hospital, Sorat kembali ke kampungnya sementara menunggu bantuan.

Program Makanan Sedunia (WFP) menyifatkan bencana itu sebagai dahsyat selain kekurangan makanan dan kadar malnutrisi tinggi. "Keadaan ini sangat kritikal," menurut WFP.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI