fb fb fb fb fb

Kanak-kanak 3 tahun terselamat daripada serangan rejim Zionis

Umm Abu Al-Abed Abu Al-Jubein memeluk cucunya, Ibrahim Al-Mabhuh, 3 tahun yang terselamat daripada serangan udara Israel yang meragut nyawa ibu bapa serta dua beradiknya/ REUTERS

GAZA, 3 September – Seorang kanak-kanak Palestin berusia tiga tahun, Ibrahim Al-Mabhuh, terselamat daripada serangan udara Israel yang meragut nyawa ibu bapa serta dua beradiknya.

Neneknya, Umm Abu Al-Abed Abu Al-Jubein meratapi kehilangan anak perempuannya yang sedang hamil tujuh bulan bersama seluruh keluarga.

"Tiang ini dan semua runtuhan berada di atasnya, saya tidak tahu bagaimana... Tuhan menyelamatkannya. Dia satu-satunya yang selamat. Ibu, bapa dan adik-beradiknya semua hilang," katanya.

Keluarga berkenaan sebelum ini telah dipindahkan dari Jabalia, di utara Gaza, ke Bandar Gaza.

Namun tindakan itu terus membuktikan bahawa, Israel tidak memperdulikan nasib orang awam di Palestin dan terus mengingkari desakan antarabangsa supaya menghentikan serangan ke atas wilayah itu.

Pada Rabu, tentera Israel mara lebih jauh ke Bandar Gaza dengan anggota tentera dan kereta kebal memasuki Sheikh Radwan, salah satu kawasan kejiranan terbesar dan paling padat.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera Israel menembusi kawasan pinggir Bandar Gaza dan kini berada hanya beberapa kilometer dari pusat bandar, meskipun menerima desakan antarabangsa supaya menghentikan serangan.

Penduduk mendakwa tentera Israel memusnahkan rumah dan khemah penempatan yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat hampir dua tahun peperangan.

Menurut pegawai kesihatan tempatan, sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam serangan di seluruh Gaza pada Rabu, kebanyakannya di Bandar Gaza.

Perang di ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober 2023 yang telah menyebabkan lebih 63,000 rakyat Palestin terkorban akibat serangan udara dan darat rejim Zionis Israel.

Daripada jumlah itu, kebanyakan angka korban merupakan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI