ZUG, 3 September – Sebuah mahkamah di Switzerland pada Rabu meneliti kes iklim melibatkan penduduk Pulau Pari - sebuah pulau kecil di Indonesia yang semakin ditenggelami air laut - terhadap syarikat simen gergasi, Holcim.
Kes itu merupakan sebahagian daripada gerakan antarabangsa untuk memberi tanggungjawab ke atas syarikat besar susulan kerosakan iklim yang menjejaskan mata pencarian berjuta-juta orang, terutamanya di negara membangun.
Kebiasaannya, syarikat minyak menjadi sasaran utama, namun aktivis iklim berharap saman terhadap Holcim akan memberi kesedaran dan peranan industri simen yang turut merekodkan sekitar lapan peratus pelepasan karbon dioksida (CO2) ke atmosfera setiap tahun.
Dalam kes ini, empat penduduk Pulau Pari memfailkan saman terhadap syarikat simen terbesar dunia itu, menuntut pampasan atas kerosakan akibat perubahan iklim serta bantuan kewangan untuk langkah perlindungan seperti penanaman pokok bakau.
Dua daripada plaintif hadir di Switzerland bagi menghadiri pendengaran di mahkamah di Zug, lokasi ibu pejabat Holcim, untuk menentukan sama ada mahkamah akan menerima aduan tersebut.
Pendengaran berkenaan berlangsung selama tiga jam, namun keputusan masih belum diumumkan.- AFP