fb fb fb fb fb

Malaysia, Thailand berminat teroka bidang kerjasama baharu - Saifuddin Abdullah

(FOTO BERNAMA)

BANGKOK, 11 Ogos - Malaysia dan Thailand berminat untuk meneroka bidang kerjasama baharu termasuk dalam sektor pertanian dan ekonomi digital bagi meningkatkan kerjasama ekonomi.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha telah menetapkan sasaran perdagangan dua hala baharu sebanyak US$30 bilion (RM134 bilion) menjelang 2025.

(Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari
Thailand Don Pramudwinai pada sidang media bersama di Bangkok / FOTO BERNAMA)

“Malaysia dan Thailand sepakat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi, antara lain, untuk meneroka bidang kerjasama baharu,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand Don Pramudwinai, yang juga Timbalan Perdana Menteri, semalam.

Terdahulu, Saifuddin dan Don bersama mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JC) bagi Kerjasama Dua Hala Kali Ke-14 dan Mesyuarat Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama (JDS) Kali Ke-5 bagi Kawasan Sempadan.

Thailand merupakan rakan dagangan ke-6 terbesar Malaysia dan rakan dagang kedua terbesar di kalangan negara anggota ASEAN. Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 23 peratus kepada US$23.64 bilion pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Mengenai kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Saifuddin berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur sempadan.

Ia termasuk membina jalan untuk menghubungkan kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam dengan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao baharu di Songkhla dan Jambatan Persahabatan Kedua Rantau Panjang di Sungai Golok.

“Hampir 50 peratus perdagangan dua hala Malaysia-Thailand tertumpu di kawasan sempadan. Mempunyai infrastruktur yang baik di kawasan sempadan amat penting untuk menyokong keperluan rakyat dan komuniti perniagaan," katanya.-BERNAMA

Media Baharu