fb fb fb fb fb

Filipina batal tempahan helikopter buatan Rusia

(FOTO FAIL AFP)

MANILA, 11 Ogos - Kerajaan Filipina membatalkan tempahan 16 helikopter tentera buatan Rusia susulan laporan bekas Presidennya, Rodrigo Duterte mengambil keputusan berkenaan disebabkan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Moscow.

Pada November lalu, Manila yang juga sekutu rapat Washington bersetuju membayar 12.7 bilion peso untuk pembelian helikopter Mi-17 dalam usaha memodenkan angkatan tenteranya.

AS dan sekutunya mengenakan sekatan secara meluas ke atas Moscow susulan serangan dibuat terhadap Ukraine pada Februari lalu.

Mereka menyasarkan untuk menyingkir Rusia daripada sistem kewangan global dan menyekat dana yang tersedia untuk Moscow bagi membiayai kos perang.

(FOTO FAIL AFP)

Menurut jurucakap Jabatan Pertahanan Filipina, Arsenio Andolong, pihaknya akan 'memformalkan penamatan' kontrak berhubung tempahan berkenaan.

Tanpa menyebut sekatan AS ke atas Moscow, Andolong memaklumkan pembatalan itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu selepas melihat perubahan perkembangan politik global.

Setiausaha Pertahanan di bawah pemerintahan Duterte, Delfin Lorenzana berkata, pada Mac lalu, Filipina membayar deposit untuk helikopter berkenaan sebelum perang tercetus di Ukraine dan urusan pembelian berjalan lancar.

Bagaimanapun, pada minggu lalu, Lorenzana, yang kini mengetuai sebuah agensi kerajaan memberitahu media tempatan bahawa Duterte sendiri memutuskan untuk membatalkannya kerana kebimbangan berhubung ancaman sekatan oleh AS.-AFP

Media Baharu