fb fb fb fb fb

Langya, virus baharu jangkiti manusia

(FOTO FAIL AFP)

BEIJING, 11 Ogos - Satu virus baharu dikesan yang sudah menjangkiti 35 individu di wilayah Shandong dan Henan di China.

Henipavirus yang turut dikenali sebagai Langya atau Lay-V itu dipercayai berasal dari haiwan namun setakat ini kajian melaporkan ia tidak melibatkan penularan manusia kepada manusia yang lain.

Menurut sumber, virus tersebut mula dikesan pada akhir 2018, namun dikenal pasti secara rasmi oleh saintis minggu lalu.

Ia difahamkan, dijumpai hasil sistem pengesanan awal untuk individu yang demam dan memiliki sejarah terdedah kepada haiwan dalam tempoh terdekat.

(FOTO FAIL AFP)

Virus itu ditemui selepas ujian calitan di kerongkong yang dilaksanakan ke atas pesakit, dengan kebanyakannya adalah kelompok petani.

Ia disahkan baharu, bermakna ia tidak menjangkiti manusia sebelum ini.

Bagaimanapun, lapor sebuah media, dua virus daripada keluarga yang sama telah dikenal pasti sebelum ini iaitu virus Hendra dan virus Nipah.

Kedua-duanya boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan kadangkala membawa maut akibat ketiadaan vaksin atau rawatan sebagai langkah pembendungan.

Kajian menunjukkan 26 daripada 35 kes jangkitan Langya mengalami gejala klinikal seperti demam, kerengsaan, batuk, anoreksia, mialgia, loya, sakit kepala dan muntah.

Orang ramai disaran mengambil langkah berjaga-jaga kerana banyak virus yang wujud di persekitaran manusia dan tidak diramal apabila menjangkiti manusia.-AFP

Media Baharu