FOTO AFP
(Rayan Oram dikebumikan di tanah perkuburan Ighrane pada 7 Februari 2022)
IGHRANE, 8 Februari- Majlis pengebumian jenazah adik Rayan Oram, kanak-kanak lelaki lima tahun yang maut selepas terjatuh dan terperangkap selama 5 hari dalam perigi kering di Maghribi dihadiri ratusan penduduk.
Insiden penuh tragik itu mendapat perhatian komuniti seluruh dunia kerana ramai yang bersimpati dengan ketentuan dihadapi kanak-kanak tersebut.
Rayan terjatuh ke dalam lubang sempit sedalam 32 meter pada Selasa lalu, mencetuskan operasi menyelamat yang amat kompleks kerana perlu dijalankan secara berhati-hati bagi mengelak kejadian tanah runtuh.
Berita mengenainya tular di seluruh dunia dengan ramai mendoakan Rayan boleh dibawa keluar dengan selamat.
Pada malam Sabtu lalu, orang ramai bersorak apabila pasukan penyelamat berjaya menghampiri lokasi Rayan terjatuh di Kampung Ighrane, pergunungan Rif, selepas beberapa hari operasi mengorek tanah dijalankan.
Namun, kegembiraan itu hanya beberapa ketika dan bertukar kepada kesedihan selepas Kabinet Diraja Maghribi mengesahkan berita pemergian adik Rayan. Raja Mohammed VI turut menyucapkan takziah kepada ibu bapa Rayan
Seorang penduduk Ighrane, Mounir Mourid berkata, penduduk kampung amat terkejut dengan berita pemergian Rayan itu.
"Rayan akan kekal terpahat dalam hati penduduk kampung, Rayan menyinari situasi di rantau ini, Di sini, kami tidak pernah melihat media atau ahli politik. Di kampung ini tidak ada isyarat telefon, jalan raya, hospital atau sekolah, katanya.
Bapa Rayan, Khaled Aourram berkata ketika kejadian dia sedang membaiki telaga berhampiran rumah mereka.
Lubang seluas kira-kira 45 sentimeter itu terlalu sempit untuk pasukan penyelamat masuk seterusnya mengeluarkan Rayan dan usaha melebarkan lubang terlalu berisiko kerana boleh menyebabkan runtuhan struktur tanah.
Pasukan penyelamat terpaksa menggali kawasan cerun yang agak luas ke dalam bukit bagi menyelamatkan Rayan dari bahagian sisi lubang.
Jentera seperti jentolak, pengorek tanah dan gerudi digunakan dengan berhati-hati untuk menggali terowong secara mendatar ke lokasi Rayan terperangkap dalam tanah.
Sepanjang operasi menyelamat, orang ramai dari segenap usia datang untuk mendoakan keselamatan Rayan dan memberikan sokongan kepada pasukan penyelamat yang bekerja sepanjang masa menyelamatkan Rayan, meskipun akhirnya gagal.
Mourad Fazoui yang datang dari Rabat, ibu negara Maghribi antara salah seorang daripada jutaan komuniti dunia yang berkabung atas tragedi itu.
“Semoga rohnya tenang dan semoga Allah membukakan pintu syurga kepadanya,” kata jurujual itu. -AFP