ANKARA,16 Ogos-Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Khamis memberitahu kepada Parlimen Turki, dia berhasrat untuk melawat Gaza dan Baitul Maqdis bagi membantah perang yang dilakukan Israel terhadap wilayah berkenaan.
Dia turut berkata dia tidak melihat konflik berkenan akan berakhir melainkan Israel berundur dari tanah Palestin yang diduduki.
Abbas, yang bertemu Presiden Turki Tayyip Erdogan di Ankara pada Rabu untuk membincangkan perang dan usaha gencatan senjata, berucap pada sesi luar biasa perhimpunan agung parlimen negara tersebut atas jemputan kerajaan Turki.
Dalam ucapan selama 46 minit yang dihadiri Erdogan, menteri dan penggubal undang-undangnya dari semua parti politik, Abbas menuduh Amerika Syarikat sengaja memanjangkan "malapetaka" dengan menyokong Israel dan memveto resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Abas turut menggesa dunia untuk menghukum Israel kerana jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukannya.
"Saya telah memutuskan untuk bersama-sama anggota Pihak Berkuasa Palestin (PA) ke Semenanjung Gaza.
"Saya akan melakukan segala usaha supaya kita semua boleh bersama-sama rakyat untuk menghentikan pencerobohan biadab ini walaupun ia mengorbankan nyawa kita," kata Abbas, sambil menambah bahawa dia juga akan ke Baitul Maqdis.
Namun, dia tidak menyatakan masa untuk ke sana.
Pelawaan Turki kepada Abbas datang selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berucap di Kongres A.S. pada bulan Julai.
"Pada 24 Julai, seorang penjenayah perang memberikan ucapan yang penuh dengan pembohongan di Kongres A.S. Di sini hari ini, Mahmoud Abbas menyatakan kebenaran dan tujuan Palestin dalam setiap ayat," kata speaker parlimen Turki Numan Kurtulmus, berucap selepas Abbas.
Setakat ini, serangan Israel di Gaza telah membunuh lebih 40,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 92,400 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.-REUTERS