fb fb fb fb fb

Mahkamah Jenayah Antarabangsa keluar waran tangkap terhadap Putin

THE HAGUE, 19 Mac - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Vladimir Putin.

Putin dituduh atas melakukan jenayah perang dengan memindahkan kanak-kanak dari Ukraine ke Russia secara paksa.

ICC yang berpangkalan di The Hague memaklumkan pihaknya juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Pesuruhjaya Presiden Russia bagi hak asasi kanak-kanak, Maria Lvova-Belova atas pertuduhan yang sama.

Notis mahkamah itu dikeluarkan beberapa jam menyusuli berita lain yang berpotensi memberi kesan ketara kepada pencerobohan Russia di Ukraine.

Ia termasuk lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Moscow dan lebih banyak jet pejuang bagi pasukan tentera Kiev.

(Presiden Rusia Vladimir Putin (Kiri) dan Presiden China Xi Jinping bergambar semasa pertemuan mereka di Beijing pada 4 Februari 2022/FOTO AFP)

Lebih 16,000 kanak-kanak Ukraine dipindahkan secara paksa ke Rusia sejak pencerobohan pada 24 Februari tahun lalau.

Kiev mendakwa sebahagian besar golongan itu ditempatkan di institusi serta rumah anak angkat.

Pendakwa raya ICC, Karim Khan berkata, Putin kini boleh ditahan sekiranya beliau menjejakkan kaki di mana-mana lebih 120 negara anggota ICC.

Menurut beliau, waran tangkap itu berdasarkan bukti forensik, penelitian dan apa yang diperkatakan oleh kedua-dua individu itu.

“Bukti yang kami kemukakan tertumpu kepada jenayah terhadap kanak-kanak. Golongan itu merupakan paling terdedah dalam masyarakat kita,” katanya.

Menurut ICC, hakim mendapati ada ‘alasan munasabah’ untuk mengesyaki Putin bertanggungjawab atas jenayah, sekali gus membenarkan permohonan waran tangkap yang dibuat oleh Khan pada 22 Februari lalu.

Presiden ICC, Piotr Hofmanski berkata pelaksanaan waran itu ‘adalah bergantung pada kerjasama antarabangsa’.

Putin menjadi presiden ketiga masih berkhidmat yang dikenakan waran tangkap oleh ICC.

Pemimpin tertinggi itu tidak mungkin dihadap ke mahkamah dalam masa terdekat. - AFP

Media Baharu