BRASILIA, 3 September- Hakim Mahkamah Agung Brazil pada Isnin mengarahkan empat suspek yang didapati bersalah kerana menyebabkan kebakaran kelab malam yang mengorbankan 242 nyawa lebih dari satu dekad yang lalu dipenjarakan segera.
Arahan tersebut sekali gus membatalkan keputusan dua mahkamah rendah pada tahun 2022 dan 2023 yang menidakkan hukuman penjara tersebut, yang berkisar antara 18 hingga 22 tahun, disebabkan oleh ketidakteraturan yang jelas dalam perbicaraan.
Keempat-empat defendan masih mempunyai satu peluang terakhir untuk merayu di Mahkamah Agung Brazil, yang boleh mengesahkan atau menolak keputusan Hakim Jose Antonio Dias Toffoli, menurut wakil badan kehakiman kepada AFP.
Kebakaran pada tahun 2013 di kelab malam di bandar selatan Santa Maria bermula apabila ahli-ahli sebuah kumpulan yang membuat persembahan pada malam itu menyalakan suar yang menyebabkan kebakaran pada siling.
Siasatan polis menyimpulkan kebakaran itu bermula apabila percikan dari suar menyambar bahan penebat, melepaskan asap beracun.
Kebakaran tersebut menyebabkan mangsa cedera dan ada juga yang mati rentung.
Kebanyakan daripada mangsa yang muda meninggal dunia akibat sesak nafas.
Siasatan mendapati kelab malam tersebut tidak mempunyai alat pemadam api yang berfungsi, hanya dua pintu untuk membolehkan orang keluar dari lantai tarian yang sesak, dan papan tanda kecemasan yang kurang jelas.
Dua pemilik kelab malam Kiss dan dua ahli kumpulan Gurizada Fandangueira didapati bersalah pada Disember 2021 atas tuduhan pembunuhan dan percubaan membunuh mangsa, yang kebanyakannya pelajar universiti muda.-AFP