NEW DELHI, 26 Ogos - Mahkamah Agung India mengarahkan siasatan terhadap dakwaan import haram haiwan dan salah guna kewangan di Vantara, sebuah zoo persendirian milik Anant Ambani, anak kepada jutawan Mukesh Ambani.
Zoo yang digelar sebagai pusat penyelamat haiwan liar terbesar dunia itu menempatkan lebih 200 gajah, 160 harimau, 200 singa, 250 harimau bintang, 50 beruang dan 900 buaya, menurut Pihak Berkuasa Zoo Pusat India.
Aktivis hidupan liar sebelum ini mengkritik fasiliti berkenaan kerana menempatkan spesies terancam di kawasan tanah rata berhampiran kompleks penapisan minyak tanpa sebarang rancangan pelepasan semula ke habitat liar.
Panel siasatan akan menilai dakwaan pengambilan gajah secara haram, pelanggaran peraturan hidupan liar, pengubahan wang haram serta kesesuaian iklim Gujarat bagi menempatkan haiwan terbabit.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Vantara mengimport kira-kira 39,000 haiwan sepanjang 2024 dari beberapa negara termasuk Republik Demokratik Congo, Emiriah Arab Bersatu dan Venezuela.
Dalam kenyataan, Vantara memberi jaminan akan bekerjasama penuh dengan pasukan siasatan dan menegaskan komitmen terhadap ketelusan serta pematuhan undang-undang.-AFP