fb fb fb fb fb

Macron tolak peletakan jawatan Attal 'buat masa ini' kerana tiada parti dapat majoriti

Presiden Perancis, Emmanuel Macron

ANKARA, 9 Julai- Presiden Perancis Emmanuel Macron meminta Perdana Menteri Gabriel Attal pada Isnin untuk terus memegang jawatannya "buat masa ini," kerana keputusan pusingan kedua pilihan raya parlimen awal menunjukkan tiada satu pun daripada tiga pakatan utama yang memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Attal hadir ke Istana Presiden Elysee untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya, tetapi Macron memintanya untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri bagi "memastikan kestabilan negara," lapor Agensi Anadolu (AA) berdasarkan laporan yang memetik sumber dari Istana Elysee.

Presiden juga menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri atas usaha beliau semasa kempen pilihan raya.

"Malam ini, pembentukan politik yang saya wakili dalam kempen ini tidak mempunyai majoriti. Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada Presiden pagi esok," kata Attal pada Ahad malam selepas keputusan awal diumumkan.

Beliau berkata bahawa "tiada pihak ekstrem," merujuk kepada parti sayap kanan Perhimpunan Nasional (RN) dan pakatan sayap kiri Barisan Popular Baharu (NPF), yang memenangi sejumlah besar kerusi di Dewan Rakyat.

NPF dijangka memenangi lebih daripada 180 kerusi di Dewan Rakyat, menurut data terkini daripada Kementerian Dalam Negeri.

Macron membubarkan parlimen dan menggesa pilihan raya diawalkan selepas RN memenangi lebih daripada 31 peratus undi dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah pada 9 Jun, mengalahkan blok kelompok tengahnya.- BERNAMA-ANADOLU

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE