fb fb fb fb fb

Macron percaya AS akan ambil tindakan terhadap ‘sinisme’ Putin

Presiden Perancis, Emmanuel Macron / Foto Reuters

TIRANA, 18 Mei - Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan keyakinan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan memberi tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai “sinisme” atau negatif Presiden Rusia, Vladimir Putin, dalam rundingan damai dengan Ukraine.

Ini susulan laporan Kiev bahawa serangan dron Rusia telah meragut sembilan nyawa orang awam pada Sabtu (17 Mei), sehari selepas kedua-dua pihak mengadakan rundingan damai pertama dalam tempoh tiga tahun.

“Cadangan gencatan senjata dan cadangan bagi pertemuan peringkat tinggi adalah inisiatif daripada Amerika Syarikat,” kata Macron.

Beliau menambah Presiden AS, Donald Trump, pasti mengambil berat terhadap kredibiliti negaranya sebagai perantara damai.

Putin, yang mencadangkan rundingan langsung di Turkiye, telah menolak cabaran Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, untuk bertemu secara peribadi di Istanbul. Tindakan itu merencatkan harapan terhadap kemajuan besar dalam rundingan tersebut.

“Kami akan terus berusaha gigih bagi memastikan Ukraine dapat bertahan, dan bagi memastikan jaminan keselamatan wujud apabila perjanjian damai ditandatangani,” tambah Macron.

Ketika ditanya mengenai cadangan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara-negara anggota NATO kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2032, Macron menegaskan adalah penting agar perbelanjaan tersebut bukan hanya tertumpu kepada pembelian senjata dan bekalan dari AS, tetapi turut disalurkan ke arah pembangunan industri pertahanan Eropah sendiri.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN