fb fb fb fb fb

Bas diserang dron: Sembilan terbunuh di utara Ukraine

Foto AFP

KIEV, 18 Mei - Seramai sembilan orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan dron oleh tentera Rusia ke atas sebuah minibus di wilayah Sumy, utara Ukraine, pada Sabtu.

Perkara itu disahkan oleh pentadbiran tentera tempatan dalam satu kenyataan rasmi.

“Malangnya, akibat serangan oleh Rusia terhadap sebuah bas yang membawa orang awam, terdapat korban jiwa,” menurut hantaran di saluran Telegram rasmi pentadbiran tersebut.

Pentadbiran berkenaan kemudian memaklumkan angka korban meningkat kepada sembilan orang, dan turut memaparkan imej sebuah minibus berwarna biru yang hancur teruk, dipercayai akibat impak letupan.

Selain itu, empat individu turut mengalami kecederaan dalam insiden yang berlaku berhampiran bandar Bilopillya, ketika bas tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Sumy.

“Minibus tersebut disasarkan secara langsung oleh tentera Rusia,” kata pihak berkuasa tempatan, yang menyifatkan serangan itu sebagai satu tindakan kejam terhadap orang awam.

Letupan itu berlaku hanya beberapa jam selepas rundingan terus pertama antara Rusia dan Ukraine dalam tempoh hampir tiga tahun berlangsung di Istanbul, Turki, pada Jumaat.

Walau bagaimanapun, rundingan tersebut tidak membawa kepada sebarang kejayaan besar, selain persetujuan untuk menjalankan pertukaran tahanan berskala besar.

Kiev dalam kenyataannya menyatakan usaha sedang giat dilakukan untuk mencapai “gencatan senjata tanpa syarat” bagi menghentikan konflik bersenjata yang telah memusnahkan banyak kawasan di Ukraine serta menyebabkan jutaan rakyat menjadi pelarian.

Bagaimanapun, Moscow terus menolak gesaan tersebut, dan persetujuan konkrit tunggal yang dicapai hanyalah pertukaran 1,000 tahanan dari setiap pihak.

Menteri Pertahanan Ukraine yang juga ketua perunding negara itu, Rustem Umerov, berkata “langkah seterusnya” dalam proses damai itu ialah penganjuran pertemuan antara Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Dalam perkembangan berkaitan, Moscow dan Washington turut menyuarakan kepentingan untuk mengadakan pertemuan antara Putin dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi membincangkan konflik berlarutan itu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN