fb fb fb fb fb

Calon probarat Romania seru rakyat pilih perubahan

Nicusor Dan / Foto AFP

BUCHAREST, 18 Mei - Datuk Bandar Bucharest, Nicusor Dan, calon pro-Kesatuan Eropah (EU), menyeru rakyat Romania untuk memilih perubahan menjelang pusingan kedua pilihan raya presiden yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Seperti pencabarnya dari blok kanan jauh, George Simion, Dan turut menggunakan slogan “perubahan” dalam kempennya, namun dengan pendekatan berhaluan probarat.

Dalam ucapannya kepada ribuan penyokong hujung minggu lalu, beliau menekankan isu perpaduan dan pembinaan semula negara antikomunis itu.

“Ia soal perpaduan, soal membina semula, soal harapan. Keadaan tidak boleh diteruskan sebegini, kita mahukan perubahan,” katanya dalam nada emosi.

Bekas prodigi matematik berusia 55 tahun itu menyuarakan keyakinan bahawa peningkatan peratusan keluar mengundi akan mengukuhkan peluangnya untuk menewaskan Simion, yang mendahului pusingan pertama pada 4 Mei lalu.

Romania, yang merupakan antara negara termiskin dalam EU dan masih dihantui ketidaksamarataan ekonomi, telah diperintah oleh elit politik sama sejak kejatuhan rejim Komunis pada 1989.

Dan turut menyatakan komitmennya untuk meneruskan haluan probarat Romania dan menyokong Ukraine dalam konflik yang sedang berlaku, sambil menolak pendekatan “pengasingan” yang dibawa oleh pencabarnya.

Beliau menggesa rakyat keluar mengundi dalam pusingan kedua, selepas kadar penyertaan dalam pusingan pertama hanya mencecah 53 peratus.

Jawatan presiden Romania memainkan peranan penting dalam hal ehwal luar negara dan keselamatan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN