fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel, 24 rakyat Palestin terbunuh di Khan Yunis

Foto fail/ AFP

KAHERAH, 18 Mei– Sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah kawasan khemah pelarian di Khan Yunis, selatan Gaza, menurut kenyataan pihak kesihatan tempatan pada Ahad.

Pasukan perubatan memaklumkan bahawa serangan tersebut turut mencederakan puluhan yang lain dan menyebabkan beberapa khemah musnah terbakar.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, ratusan rakyat Palestin telah terbunuh dalam tempoh 72 jam lalu, susulan peningkatan pengeboman Israel, meskipun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengadakan lawatan ke rantau itu baru-baru ini.

Hamas menyifatkan serangan tersebut sebagai satu jenayah kejam terbaharu dan mendakwa pentadbiran Amerika Syarikat bertanggungjawab ke atas peningkatan keganasan itu.

Pihak tentera Israel masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai serangan terbaharu ini. Namun, sebelum ini rejim Zionis memaklumkan bahawa serangan berskala besar dilaksanakan di beberapa kawasan di Gaza sebagai sebahagian daripada strategi ketenteraan.

Sementara itu, rundingan gencatan senjata secara tidak langsung yang dimulakan pada Sabtu di Doha, Qatar, masih belum menunjukkan sebarang kemajuan.

Sumber yang rapat dengan rundingan memberitahu Reuters bahawa setakat ini, kedua-dua pihak kekal dengan pendirian masing-masing.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN