CAMPANA,18 Mei - Banjir besar akibat hujan lebat luar biasa telah melanda bandar Campana memaksa pemindahan besar-besaran dan menjejaskan aktiviti harian di kawasan pertanian utama negara itu.
Penduduk terpaksa menggunakan kayak dan bot kembung untuk meredah jalan yang ditenggelami air sedalam pinggang sambil membawa barangan peribadi dan haiwan peliharaan.
“Kami terpaksa keluar bersama anak-anak dan anjing, cuba menyelamatkan diri sebaik mungkin. Kini kami berada di jalanan, cuba mencari apa yang perlu dilakukan kerana ada antara kami yang tiada tempat untuk dituju,” kata seorang penduduk tempatan, Luana Isabel Bello. “Ia satu bencana,” tambahnya.
Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan Argentina telah mengeluarkan amaran merah bagi wilayah tersebut pada malam Jumaat, susulan hujan antara 150 hingga 250 milimeter yang dicatatkan di antara bandar Zarate dan Arrecifes.
Agensi itu turut memaklumkan ribut sedang “berkembang semula” dan lebih banyak hujan dijangka turun.
Kawasan terjejas merupakan antara wilayah penting dalam sektor eksport makanan Argentina. Bencana tersebut dijangka akan terus menjejaskan musim menuai kacang soya yang sedang berlangsung.
Argentina merupakan pengeksport utama global bagi makanan dan minyak kacang soya, selain menjadi pengeksport ketiga terbesar jagung dan antara pengeksport utama gandum dunia.
Keadaan itu mencetuskan kebimbangan terhadap rantaian bekalan makanan global dan pasaran eksport negara itu.-REUTERS