fb fb fb fb fb

Lima maut, dua helikopter bertembung di Finland

Foto hiasan

HELSINKI, 18 Mei- Lima orang terbunuh apabila dua buah helikopter bertembung di udara sebelum terhempas di Finland pada Sabtu.

Ketua Inspektor Detektif, Johannes Siirila dalam satu kenyataan berkata nahas tersebut berlaku berhampiran Lapangan Terbang Eura, Finland.

Menurut rancangan penerbangan, satu daripada helikopter itu membawa dua penumpang, manakala yang satu lagi membawa tiga orang.

Kedua-dua pesawat tersebut berlepas dari ibu kota Estonia, Tallinn dan menuju ke Piikajärvi, hanya beberapa kilometer dari lokasi nahas.

Laporan media tempatan menyebut bahawa kesemua mangsa dipercayai merupakan ahli perniagaan.

Akhbar Finland, Iltalehti, melaporkan seorang saksi kejadian, Antti Marjanen, yang melihat salah satu helikopter melanggar satu lagi helikopter lain ketika semasa penerbangan.

“Salah satu daripada helikopter itu menjunam seperti batu, manakala yang satu lagi jatuh lebih perlahan. Saya tidak dengar sebarang bunyi,” katanya kepada media.

ROSLINA BINTI DIN