NEW YORK, 18 Mei - Sebuah kapal layar milik Tentera Laut Mexico merempuh Jambatan Brooklyn pada malam Sabtu, menyebabkan bahagian atas tiangnya patah dan mengakibatkan 22 orang cedera.
Menurut pihak berkuasa, kesemua kecederaan berlaku di atas kapal tersebut.
Video yang tular dalam talian memaparkan insiden dramatik ketika kapal itu belayar di bawah jambatan yang menghubungkan dua daerah utama New York City, Brooklyn dan Manhattan sebelum tiangnya melanggar struktur jambatan berkenaan.
Datuk Bandar New York, Eric Adams, dalam satu sidang media mengesahkan jumlah kecederaan yang berlaku, sambil menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Rakaman insiden turut menunjukkan beberapa individu berpakaian seragam putih seperti kelasi tergantung pada palang kapal, manakala orang ramai di kawasan berhampiran South Street Seaport dilihat bertempiaran lari apabila kapal menghampiri jambatan.
Jambatan Brooklyn, sebuah jambatan gantung yang dibuka sejak 1883, merupakan salah satu tarikan pelancong paling ikonik di New York serta laluan utama antara Manhattan dan Brooklyn.
Jurucakap Jabatan Polis New York City berkata mereka masih belum dapat memastikan dengan tepat bagaimana kecederaan berlaku, dan siasatan masih diteruskan.-REUTERS